Awangan Hitam 1: Bab 5
Aku di mana ini? Bagaimana aku boleh ada di sini? Jiji memandang sekeliling dengan penuh kekeliruan. Ruang di sekelilingnya dipenuhi cahaya lembut dan bayangan samar-samar. Di hadapannya, muncul seorang jejaka berpakaian kemeja putih lengan panjang dan seluar hitam, berdiri dengan tenang. Perlahan-lahan, wajahnya yang dikenali mulai kelihatan jelas.
“Syamil, adakah itu kau?” Jiji bertanya dengan suara bergetar, matanya tidak lepas dari memandang lelaki di hadapannya.
“Ya, ini aku, baby,” jawab Syamil dengan senyuman lembut. Jiji terus mendakap tubuh Syamil, air mata mengalir di pipinya. Setelah seketika, dia melepaskan pelukan itu dan menatap wajah suaminya dengan penuh kerinduan.
“Baby, abang datang sini nak bagi amaran. Jauhkan diri daripada Muhd dan abang kamu, Jadul,” kata Syamil dengan suara yang tenang namun tegas.
“Kenapa abang suruh baby jauhkan diri dari mereka?” Jiji bertanya, matanya masih tidak lepas dari wajah suaminya.
“Baby kena cari bukti dalam pendrive Mickey Mouse yang abang kamu selalu pakai,” jawab Syamil.
“Bukti pembunuhan itu ke, abang?” Jiji bertanya lagi, cuba memahami maksud suaminya.
“Ya, betul. Dan dalam pada masa itu, kamu kena hati-hati,” Syamil menasihati dengan penuh kebimbangan.
“Baik, abang. Baby akan cari pendrive itu. Selamat tinggal, abang. Abang akan tunggu baby di syurga. Assalamualaikum, Jiji,” ucap Syamil, melepaskan genggaman tangannya dari Jiji.
“Waalaikumussalam, terima kasih abang. Saya akan menyusul ke sana,” balas Jiji sambil melihat bayangan suaminya yang makin pudar.
Tiba-tiba, Jiji tersedar apabila terdengar bunyi jam yang menunjukkan pukul 6 pagi. Kata-kata suaminya dalam mimpi tadi terasa begitu nyata, seperti sebuah petunjuk berkaitan pembunuhan misteri yang melanda hidupnya.
Setelah mengelamun seketika, Jiji terus bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh. Seusai solat, dia mencapai telefon bimbitnya dan segera mendail nombor Harith.
“Assalamualaikum, Harith, ini aku, Jiji,” sapanya.
“Waalaikumussalam, Jiji. Apahal kau menelefon aku awal pagi ni?” tanya Harith, suaranya kedengaran sedikit terkejut.
“Aku nak minta tolong kau cari alamat abang aku,” kata Jiji dengan nada serius.
“Abang kau? Kenapa dengan dia sampai suruh aku cari alamat?” Harith bertanya, ingin tahu.
“Kau buat je apa aku suruh. Nanti aku bagitahu kau,” Jiji menjawab, cuba mengelak dari memberi terlalu banyak maklumat.
“Okaylah. Kalau aku jumpa, aku bagitahu kau,” balas Harith.
“Terima kasih, Harith. Kau banyak bantu aku,” kata Jiji dengan rasa terima kasih.
“Tak ada masalah. Aku pun dah anggap kau macam keluarga aku,” jawab Harith.
“Baik, Harith. Assalamualaikum,” ucap Jiji.
“Waalaikumussalam, Jiji.”
Selesai menelefon Harith, Jiji mencapai buku peribadinya dan mula mencatat misi untuk mencari pendrive yang dinyatakan dalam mimpinya. Dia menulis senarai nama yang berada dekat dengan dirinya dan cuba menyusun strategi untuk mencari siapa dalang di sebalik pembunuhan tersebut. Fikirannya berkecamuk, namun dia tahu bahawa dia perlu tabah untuk menyelesaikan misteri yang mengelilingi kehidupannya.
Hari Yang Baru, Perancangan Yang Baru
Jiji melangkah keluar dari rumahnya, dengan senarai nama di tangannya. Dia sedar bahawa masa untuk berdiam diri sudah berakhir. Dalam fikirannya, hanya satu tujuan—mencari pendrive Mickey Mouse dan merungkai rahsia yang disembunyikan selama ini.
Jiji menuju ke rumah abang sulungnya, Jadul, dengan perasaan yang bercampur-baur. Rasa takut dan bimbang jelas terbayang di wajahnya. Setibanya di rumah Jadul, dia melihat kereta abang iparnya, Asmida, tiada di tempat biasa. Ini bermakna, Jadul mungkin seorang diri di rumah. Inilah peluang yang dinantikan Jiji.
Jiji mengetuk pintu dengan perasaan berdebar. Pintu terbuka dan Jadul terkejut melihat adiknya di hadapan pintu.
“Jiji? Kenapa kau datang sini?” tanya Jadul dengan nada yang tidak mesra.
“Abang, aku datang nak cakap sesuatu dengan abang. Boleh kita bercakap sekejap?” Jiji cuba menenangkan perasaannya.
Jadul teragak-agak seketika sebelum mengangguk. “Masuklah,” katanya sambil membiarkan Jiji masuk ke dalam rumah.
“Abang, aku minta maaf atas apa yang telah berlaku. Aku tak pernah berniat nak menyusahkan sesiapa, apatah lagi abang,” kata Jiji, cuba membuka jalan untuk perbualan yang lebih mendalam.
“Aku dah lama maafkan kau, Jiji. Tapi, ada benda yang aku masih tak boleh lupa,” balas Jadul, matanya memandang tepat ke arah Jiji.
Jiji menarik nafas panjang. “Abang, aku cuma nak minta satu benda daripada abang. Aku nak tengok pendrive Mickey Mouse abang.”
“Mickey Mouse? Untuk apa?” tanya Jadul, mukanya berubah.
“Ada sesuatu dalam pendrive tu yang boleh bantu aku selesaikan masalah ni,” jawab Jiji, cuba meyakinkan abangnya.
Jadul memandang Jiji dengan perasaan ragu. “Jiji, aku tak faham kenapa kau nak pendrive tu. Tapi kalau itu yang kau perlukan, aku akan bantu kau.”
Jiji tersenyum, rasa lega mula menyelubungi dirinya. “Terima kasih, abang. Ini penting bagi aku. Aku janji, aku akan jaga diri.”
Jadul masuk ke dalam biliknya dan keluar semula dengan pendrive Mickey Mouse di tangannya. Dia menyerahkannya kepada Jiji.
“Jaga diri, Jiji. Kalau ada apa-apa, jangan segan nak beritahu abang,” pesan Jadul sebelum Jiji meninggalkan rumah.
Jiji memegang pendrive itu erat-erat. Dia tahu, dalam pendrive ini, tersembunyi kebenaran yang selama ini menghantui hidupnya. Kini, dengan bukti di tangan, Jiji bersedia untuk menghadapi kebenaran, walau sesakit mana sekalipun.
Comments